Surah Al Mukminin dimulakan dengan menyatakan sifat-sifat para mukminin yang merupakan golongan manusia yang beruntung.
Ia
adalah janji yang benar dan pengakuan yang tegas terhadap keberuntungan
yang akan dicapai oleh para mukminin. Itulah janji Allah dan Allah
tidak pernah menyalahi janjiNya.
Itulah
keberuntungan di dunia dan akhirat untuk individu muslim dan kelompok
muslimin. Itulah keberuntungan yang dirasai orang yang beriman di dalam
hatinya dan mendapat bukti kebenaran dalam kenyataan
hidupnya, iaitu keberuntungan yang diketahui dan tidak diketahui oleh
manusia yang disimpan oleh Allah untuk para hamba-Nya yang mukmin.
Siapakah
para mukminin yang dituliskan untuk mereka segala kebajikan,
kebahagiaan taufiq dan kenikmatan hidup yang baik di muka bumi ini?
Siapakah
para mukmin yang ditulis untuk mereka segala kemenangan, keselamatan,
pahala keredhaan Allah di akhirat? Dan lain-lain balasan yang baik di
dunia dan akhirat yang tidak diketahui sesiapa kecuali Allah? Merekalah orang-orang yang dijelaskan sifat-sifat mereka selepas ayat pembukaan surah ini iaitu mulai ayat 2 hingga 9.
Sifat-sifat
ini menggambarkan syaksiah seorang muslim pada parasnya yang paling
tinggi iaitu paras Nabi Muhammad s.a.w selaku Rasulullah dan sebaik-baik
makhluk Allah yang diasuh Allah dengan sebaik-baik didikan. Allah
sendiri memuji di dalam firmanNya yang bermaksud:
“Sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang agung.” (Surah al Qalam ayat 4)
Ketika ditanya kepada Siti Aisyah r.a. tentang akhlak Rasulullah s.a.w. jawab
beliau, “Akhlaknya ialah Al Quran” kemudian beliau membaca ayat 1
hingga ayat 9 dari Surah Al Mukminun dan berkata: “Demikianlah akhlak
Rasulullah s.a.w.”. (HR al- Nasa'i)
Apakah nilai sifat-sifat tersebut dalam kehidupan individu muslim, kehidupan kelompok muslimin dan kehidupan umat manusia?
1. Orang yang khusyuk dalam solat mereka.
Allah
telah mengkategorikan khusyuk dalam solat itu sebagai tingkat yang
paling tinggi sekali dari tingkat-tingkat kejayaan. ini adalah sebagai
suatu peringatan kepada orang yang tidak khusyuk dan lalai dalam
solatnya, bahawa mereka berada paling bawah sekali dari tingkat
kemenangan dan kejayaan (falah).
Sabda Rasulullah yang bermaksud:
"Sesungguhnya
solat itu adalah ketenangan hati dan kerendahan diri dan permohonan
jiwa dan kamu mengangkat kedua belah tanganmu dan berkata: "Ya Tuhanku!
Ya Tuhanku! Barangsiapa tiada melakukan serupa itu, maka solatnya tidak
sempurna (kurang syarat-syaratnya)."
Rasulullah juga bersabda yang bermaksud:
"Barangsiapa
yang solat, padahal solatnya itu tiada dapat mencegahnya dari perbuatan
keji dan mungkar, maka orang itu tiada akan bertambah sesuatu dari
Allah melainkan jauh daripadaNya."
Mereka
yang khusyuk dalam solat merasa gementar ketika berdiri mengadap Allah.
Hati mereka tenang dan khusyuk hingga menjalar ke seluruh tubuh badan,
wajah dan gerak geri mereka. Jiwa mereka diselubungi dengan kebesaran Allah. Segala ingatan yang lain hilang dari fikiran mereka.
Mereka
tidak teringat kepada yang lain dari Allah dan seluruh perasaan mereka
tertumpu kepada-Nya dan berbicara denganNya. Apabila berdepan dengan
Allah yang Maha Suci maka lenyaplah segala yang ada disekeliling mereka
dan sesuatu yang lain yang ada di dalam hati mereka. Hati mereka bersih
dari segala kekotoran.
Mereka tidak menyimpan dalam hati mereka
sedikitpun dari kekotoran ini bersama dengan kebesaran Allah. Pada
ketika itu manusia itu berhubung dengan penciptanya dan rohnya bertemu
jalannya dan hati yang sepi menemui tempatnya dan pada ketika itu juga
kecillah segala nilai-nilai, segala benda dan sekelian tokoh kecuali
sesuatu yang mempunyai hubungan dengan Allah.
2. Orang yang menjauhkan diri dari segala yang sia-sia
Segala
yang sia-sia termasuklah perkataan, perbuatan, perhatian dan perasaan
yang sia-sia. Hati yang mukmin itu sentiasa dipenuhi dengan
kegiatan-kegiatannya. Ia tidak mempunyai ruang untuk perkara yang
sia-sia, main-main dan saja-saja. Ia dipenuhi dengan zikrullah,
memikirkan kebesaran Allah dan merenungi tanda-tanda kekuasaan dan
kebijaksanaan-Nya pada kejadian diri manusia dan makhluk-makhluk yang
lain.
Hati
orang mukmin sentiasa dipenuhi dengan tugas-tugas akidah yang
membersihkan hati, mencuci jiwa dan dhamir. Tugas-tugas yang mengawal
tingkahlaku dan menegakkan pendirian pada tahap yang tinggi yang
dituntut oleh iman. Tugas melakukan makruf dan melarang melakukan
mungkar dan memelihara kehidupan masyarakat Islam dari kerosakan dan
penyelewangan. Tugas-tugas jihad untuk melindungi, menolong dan
memperkukuhkan akidah. Mengawal dan menjaga akidah dari tipu daya musuh.
Semuanya
merupakan tugas yang tidak berakhir, yang tidak boleh diabaikan oleh
orang yang beriman dan tidak boleh dihindarkan dari dirinya.
Seluruh
tugas-tugas ini merupakan tugas yang difardhukan Allah sebagai fardhu
‘ain atau fardhu kifayah di samping merupakan tugas yang cukup untuk
menghabiskan tenaga dan usia seseorang manusia.
Daya
tenaga manusia itu adalah terbatas sama ada daya tenaga itu dihabiskan
dalam tugas mengislah, membangun dan memajukan kehidupan atau dihabiskan
dalam kegiatan-kegiatan yang sia-sia, tiada faedah atau main-main.
Tetapi orang beriman tetap didorong oleh akidahnya supaya menghabiskan
daya tenaganya dalam kegiatan yang membangun, meng’imarah dan mengislah.
dicopy dari http://tehbri.blogspot.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan